Rabu, 14 Mac 2012

bezfrenz TiLL jaNnaH ^^



Tangan mencapai telefon bimbit di atas meja. Tangan dilarikan di skrin. Unlock.

1 new message.

Open. Mata dilarikan membaca isi kandungan pesanan tersebut. Nafas ditarik. Perlahan. Exit.

Air mata jatuh, setitis. Sepertinya hati juga sedang menangis.

Sahabatku, aku juga rindu kamu. Bahkan tersangat rindu. Andai sahaja kau tahu betapa aku rindu waktu kita dahulu. Andai sahaja kau tahu ada sahamnya kamu dalam setiap tadahan tanganku. Andai sahaja dapat aku memberitahumu.

Kau kata, kau malu. Malu dengan diriku waktu ini. Malu dengan penampilanku serupa ini. Malu dengan sifatku sekarang ini. Aku sudah berubah. Malah sudah jauh berubah. Sedangkan kau masih di tempat yang sama setelah sekian lama.

Sahabatku, aku pinta. Jangan malu denganku. Malulah kamu dengan Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang insan biasa, seorang hamba kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku hina. Banyak dosanya. Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya.

Aku punya pilihan. Aku pilih jalan ini. Aku pasti. Tidak akan pernah berpatah kembali.

Tahu, kau juga punya pilihan. Pilihan untuk mengubah hidupmu. Kau juga boleh berubah. Seperti aku, seperti dia, seperti yang lainnya. Tiada apa yang mustahil. Cuma yang menentukan perubahan apa yang kau pilih. Jalan apa yang kau pilih untuk ikuti.

Kalau benar kau mahu berubah. Pasti akan ada pintu yang Tuhan buka untuk membantu. Pintu-pintu yang kau sendiri tidak sangka akan bertemu dari tempat yang tidak pernah kau tahu. Aku juga pasti, Tuhan akan menghantar orang-orang yang baik untuk bersamamu. Dalam apa jua keadaan, mereka tetap akan teguh bersamamu. Menghulurkan tangan membantu, mengangkat apabila tersungkur, menyedarkan dari kealpaan indah dunia itu. Mereka yang akan bersamamu. Bersusah payah mempimpinmu untuk berubah.
Sahabat, andai sahaja kau tahu indahnya hidup ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu indahnya perasaan ketika ditemani dengan redha dan syukurmu terhadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu keindahan sebenar dunia apabila sentiasa ditemani bayangan mati.

Aku pasti.

Bahawa kau tidak akan berlengah lagi. Kau tidak akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti.

Aku pasti.

Kau akan bersujud tika ini. Kau akan memohon ampun saat ini. Kau akan redha atas ketentuan hidup yang diberi. Kau tidak akan pernah berniat untuk kembali kepada kehidupan indah lampau yang hanya berdasarkan duniawi.

Itu, aku pasti. Malah tersangat pasti.

Andai sahaja dapat aku terangkan perasaanku ketika ini. Andai sahaja dapat aku berkongsi sedikit rasa hati. Andai sahaja dapat aku beri rasa indah ini. Pasti sudah aku beri. Pasti sudah aku kongsi.

Aku mahu kau rasa perasaan itu. Perasaan indah mencintai Ilahi. Perasaan indah yang langsung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan yang langsung tiada tolok bandingnya.

Andai sahaja dapat aku kongsi.

Sahabat, aku mahu kau tahu. Kau sentiasa ada dalam doaku. Aku mahu kau tahu. Yang aku sentiasa mendoakanmu untuk menemukan jalan terindah dalam hidupmu. Aku mahu kau tahu, aku mahu jadi temanmu. Selamanya. Hingga ke syurga.

Kamu janji, tunggu aku ya?

Apabile Maut Datang Menjemput



DIKISAHKAN bahawa malaikat maut (Izrail) bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s. Dia datang dengan bentuk manusia sehingga tidak seorang pun yang mengetahui kedatangannya selain baginda. Pada ketika itu Nabi Sulaiman sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya. Semasa malaikat maut hendak pergi dia memandang salah seorang sahabat Nabi Sulaiman dengan pandangan yang aneh, lalu pergi.

Setelah malaikat maut pergi, sahabat Nabi Sulaiman itu bertanya: "Wahai Nabiyullah, mengapa ia memandang ku seperti itu?" Jawab Nabi Sulaiman: "Ketahuilah, dia itu adalah malaikat maut".Kemudian sahabat Nabi Sulaiman itu berkata, "Wahai nabi, tiupkanlah angin dengan kencang, sehingga angin itu membawaku ke puncak negeri India, sesungguhnya aku berfirasat buruk"."Apakah engkau akan lari dari takdir jika maut akan menjemputmu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk mencari sebab-sebabnya. Dan, aku yakin bahwa engkau akan mengkabulkan permintaanku," kata sahabat Nabi Sulaiman itu. Kemudian, Nabi Sulaiman memerintahkan kepada angin untuk membawanya ke tempat yang diinginkan.

Selang beberapa saat malaikat maut datang, Nabi Sulaiman bertanya: "Apa urusanmu dengan salah seorang sahabatku, mengapa engkau pandang dia seperti itu?"

Malaikat maut menjawab, "Aku memandangnya kerana tercatat didaftar kematian bahawa dia akan mati di sebuah negeri di India. Aku hairan, bagaimana dia dapat pergi ke sana sedangkan dia ada bersamamu? Kemudian, di tempat yang telah ditentukan, pada waktu yang telah digariskan aku lihat dia datang kepada aku dan aku cabut nyawanya".

Kisah di atas mengingatkan kepada kita bahawa malaikat maut akan selalu mengintai sesiapa saja yang masa perjanjiannya akan berakhir di dunia ini. Jika masa perjanjian itu berakhir maka tiada sesiapa pun dapat melarikan diri daripada maut. Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34)

Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan, Dan apabila (sampai ajal seseorang) datanglah 'sakaratul maut' dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (Qaf: 19)

Kita berjumpa doktor apabila sakit menimpa, kita makan apabila datang rasa lapar dan minum apabila haus, tetapi apabila kematian datang menjemput tiada tempat yang boleh kita lari atau meminta pertolongan.Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)

Sebab itu, mari kita hayati dan renungkan pesan Rasulullah SAW agar kita tidak mensia-siakan peluang hidup yang diberi oleh Allah kepada kita semasa di dunia ini.Janganlah kita dilalaikan oleh urusan dunia sehingga lupa membuat persiapan bekalan untuk mengadap Allah SWT.

Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) Justeru, janganlah kita bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

Beribadatlah, dan perbanyakkanlah ibadat sunat di samping ibadat fardu semasa sihat sebelum datangnya kesakitan. Bersedekahlah semasa masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan.

Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai bekerja. Atau kita boleh sahaja berzikir sambil memandu ke tempat kerja terutama sewaktu kita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama khasnya Kuala Lumpur.

Carilah keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya tua dan tidak mempunyai kekuatan. Beramallah di sini (semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti (semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.